Saturday, September 29, 2012

Penanaman Betik (Papaya)



Nama saintifik bagi betik ialah Carica papaya L. dari keluarga Caricaceae, dikenali juga sebagai 'paw-paw' merupakan sejenis tumbuhan herba jenis saka yang hidup singkat.  Tanaman ini dipercayai berasal dari West Indies atau Mexico.

VARIETI  DAN PANDUAN MENANAM BETIK
Di Malaysia, terdapat beberapa jenis betik yang dibiak-biak secara tempatan dan juga beberapa jenis dari luar negeri.  Betik jenis tempatan seperti Batu Arang, Morib, Subang 6, Taiping 3, Serdang 1 dan Sitiawan mempunyai isi yang berwarna merah.  Jenis-jenis yang dibiak di luar negeri mempunyai isi berwarna kuning dan diantaranya ialah Sunrise Solo dan Honey Dew.  Keperluan tanaman betik adalah seperti berikut:- 
  1. Faktor Iklim 
    Sesuai ditanam di kawasan-kawasan yang mendapat taburan hujan yang sama rata sepanjang tahun.  Keperluan hujan tidak kurang dari 1200 mm setahun dan keadaan kemarau boleh menyebabkan keguguran bunga-bunga betik.  Suhu sesuai untuk tanaman betik ialah diantara 21-33oC.  Tidak sesuai ditanam di kawasan yang mengalami tiupan angin kencang kerana pengakarannya yang cetek pokok mudah tumbang.
     
  2. Faktor Tanah
    Memerlukan tanah bersaliran baik.  Jenis tanah yang mudah dibanjiri air adalah tidak sesuai.  Bagi tanah-tanah yang sederhana sesuai/bermasalah betik boleh ditanam dengan pengurusan yang bersesuaian bergantung kepada masalah yang dihadapi.  Masalah dan cara mengatasi adalah seperti berikut:-

    CEC sederhana Rendah
    Ikut program pembajaan yang disyorkan dan gunakan tambahan baja organik.

    Lapisan padat (di bawah 50 cm) atau berbatu
    Pecahkan lapisan padat dan buang batu-batu jika perlu.  Kemudian buat batas atau timbunan, sediakan lubang tanaman yang sempurna dan ikuti program pembajaan yang disyorkan.

    Sangat salir
    Adakan sistem pengairan dan gunakan bahan-bahan organan sebagai baja tanaman.

    Curam
    Elakkan hakisan tanah dengan menanam penutup bumi, menanam mengikut kontor, membina teres atau tapak pentas.  Sediakan parit kontor dan lain-lain.

Diantara kultivar-kultivar betik yang disyorkan ialah:-
  • Subang 6 
Sesuai untuk diproses kerana warna isinya yang menarik serta saiz buahnya seragam.  Ia juga boleh dimakan segar kerana senang dihiris dan tidak mudah patah.  Jenis ini sangat subur pada peringkat awal pertumbuhan dan berbuah awal, lebih kurang 42-44 minggu selepas disemai. Buah yang masak mempunyai warna kulit kuning seragam dengan permukaan buah yang sangat bersih dan bebas daripada bintik-bintik atau lebam manakala tekstur isinya bagus dan mantap, dengan kandungan gula yang rendah.
  • Sitiawan
Betik jenis ini lebih sesuai untuk diproses atau ditinkan kerana hasilnya tinggi dan isinya yang pejal.  Ia mempunyai tumbesaran yang sangat subur, ketinggian yang sederhana dan cepat berbuah, kira-kira 44-45 minggu selepas disemai.
  • Batu Arang
Mempunyai ketinggian pokok yang sederhana tetapi cepat berbuah.  Ianya mula berbunga 4-6 bulan selepas disemai dan mengambil masa selama 5 bulan untuk buah membesar dan masak.  Tumbesaran dan penghasilan pokok amat sensitif kepada faktor-faktor alam persekitaran seperti suhu yang tinggi dan kemarau.
  • Eksotika
Betik Eksotika ialah hasil kacukan secara berulang-ulang diantara jenis luar negeri Sunrise Solo dengan jenis tempatan Subang 6.  Hasil kejayaan ini, betik Eksotika merupakan jenis  yang berpotensi untuk pasaran.  Pokok Betik Eksotika sederhana tingginya dan mula berbunga pada peringkat umur 3-4 bulan selepas ditanam.  Buah akan dihasilkan dan kematangannya akan mengambil masa selama antara 4 ke 5 bulan, dewasa pokoknya setinggi lebih kurang 80 cm dari permukaan tanah.
Kesemua pokok betik eksotika akan menghasilkan buah jantina iaitu bermofrodit dan buah betina.  Buah bermofrodit berkeadaan panjang berbentuk pir, kecil di bahagian pangkal dan besar menirus ke bahagian hujung.  Sementara buah betina berbentuk bulat.  Berat sebiji diantara 600-800 gm dan mempunyai kandungan gula yang tinggi 14-15 TSS.  Isinya tebal berwarna samar kemerahan, rongga ovarinya kecil, berbau wangi dan lazat  rasanya.
CARA MENANAM
Tanaman betik sesuai kepada tanah yang mempunyai struktur dan saliran yang baik tetapi sentiasa berkeadaan lembab.  Tanah yang terendam air tidak sesuai bagi tanaman betik.  Pohon betik akan hidup subur di kawasan lapang tetapi tidak terdedah kepada angin yang kencang.  Cahaya matahari yang cukup dan taburan hujan yang serata adalah mustahak bagi tanaman betik.
PENYEDIAAN BIJI BENIH
Sebanyak 1,700 pokok anak benih adalah diperlukan bagi tanaman setiap hektar tanah dan ditambah 10% atau 200 pokok lagi untuk sulaman jika ada yang tidak hidup selepas ditanam.  Biji benih elok disemai ke dalam polibeg, yang berukuran 15 cm x 22 cm.  Isikan polibeg dengan campuran 2 bahagian tanah lapisan atas, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian bahan organik (tahi ayam atau tahi lembu).  Sebelum biji benih disemaikan, adalah baik dirawat terlebih dahulu dengan racun thiram untuk mengelakkan terkena serangan kulat.
Tanamkan biji benih sedalam 2 cm ke dalam tanah.  Jangan tanam terlampau dalam kerana ditakuti benih tidak akan bercambah disebabkan terlampau cetek biji benih yang disemai akan berubah-ubah tempat semasa menyiram dan kecambahannya akan terganggu.  Biji benih akan bercambah dalam masa satu minggu.  Sedang anak benih beransur membesar, taburkan racun siput di merata kawasan, untuk mengelakkan daripada serangan siput.  Selain anak benih berumur 6-8 minggu ataupun telah berdaun 8-12 helai, anak semaian boleh diubah ke ladang.
KAWASAN PENANAMAN
Kawasan yang akan ditanam hendaklah dibersihkan dan dibajak.  Gali lubang sedalam 30 cm dan 30 cm lebar.  Jarak tanaman 1.8 m x 2.7 m, boleh ditanam sebanyak 1,700 pokok sehektar.  Semasa menanam gaulkan tanah di permukaan atas dengan baja phosphate sebanyak 200 g -250 g.  Pilihlah musim hujan yang sederhana apabila hendak menanam, kalau masa hujan yang banyak boleh menjadi keadaan terlalu lembab, dan akar betik yang belum berfungsi itu menjadi busuk.




No comments:

Post a Comment