Keadilan menggesa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
untuk mengambil tindakan segera untuk menamatkan AP Minyak Sawit. Sistem
AP memang tidak boleh diguna pakai kerana ianya boleh disalahgunakan
dengan pemberian kuota kepada kroni dan ini akan memberi kesan negatif
kepada harga pasaran CPO (price distortion).
Kementerian mesti mengubah ke struktur duti ekspot yang rendah,
fleksibel dan terbuka supaya syarikat penapisan minyak sawit Malaysia
boleh berdaya saing dengan Indonesia.
Krisis isu penapisan minyak sawit ini bermula pada bulan Oktober
tahun lepas. Seharusnya masalah ini di selesaikan secepat mungkin,
tetapi Kementerian gagal mengambil apa-apa tidakan selama 10 bulan. Dua
bulan lalu, Kementerian bertindak dengan meningkatkan jumlah kuota AP
Minyak Sawit.
Peningkatan AP Minyak Sawit ini bukan merupakan satu langkah yang
bijak, tetapi telah memburukan lagi situasi yang sudah teruk. Ini
disebabkan kebanyakkan kuota diberi kepada syarikat syarikat yang memang
tak berupaya untuk menjual CPO.Penambahan 2 juta metrik tan CPO kepada
pasaran yang sudah lembap telah gagal menarik minat pembeli-pembeli
baru.
Menteri Tan Sri Benard Dompok minggu lalu memberi penerangan bahawa
masih ada 2.5 juta metrik tan AP yang tak terjual. Malah penambahan AP
ini telah menyebabkan satu situasi dimana CPO tidak dapat di hantar
kepada pembeli kerana tangki-tangki minyak sawit di loji-loji penapisan
dan pelabuhan-pelabuhan sudah sesak penuh dengan minyak kelapa sawit
yang telah diproses, tetapi tak terjual.
Kesesakan logisitk ini telah merebak balik dari industri hilir ke
hulu (downstream to upstream), dan menyebabkan rantaian bekalan lumpuh
tersumbat (clogged supply chain). Kami juga menerima beberapa laporan
dari pengusaha sawit bahawa tangki-tangki di kilang sawit (oil mill)
kini sudah pun dekat penuh, dan pengeluar dan peneroka FFB (Fresh Fruit
Bunch) dipaksa untuk menjual buah-buahan mereka kepada pengilang dengan
harga murah dan dengan diskaun. Ramai pemerhati industri sawit juga
percaya bahawa dasar penambahan 2 juta AP ini ini telah sedikit sebanyak
menyebabkan kejatuhan harga CPO yang mendadak baru-baru ini.
Dasar AP ini adalah merupakan dasar yang tidak masuk akal. Dasar
untuk memperkayakan kroni dengan AP tambahan telah merosakkan harga
sawit dan akan menjejaskan ekonomi dan industri negara. Memandangkan
harga minyak sawit terus menjunam, Kementerian harus mengambil tindakan
yang wajar tanpa gangguan politik. Kalau Kementerian tak nak terima
nasihat kami, saya syorkan Tun Dr Lim Keng Yaik beri tunjuk ajar kepada
Kementerian.
Keadilan juga terus menggesa Kementerian untuk memberi jawapan rasmi
sama ada senarai penerima AP adalah rahsia rasmi. Isu ini penting kerana
baru-baru ini surat khabar The Edge melaporkan bahawa Palm Oil Refiners
Association of Malaysia (PORAM) telah menerima jawapan daripada
Kementerian bahawa senarai itu adalah rahsia rasmi.
Jika Kementerian tidak mempunyai apa yang hendak disembunyikan, ia
mesti membuat senarai ini terbuka kepada penelitian awam. Kementerian
juga mesti mendedahkan jumlah kuota yang diperuntukkan bersama
justifikasi penerimaan untuk setiap satu penerima.